Inilah Barisan Srikandi Revolusi Tudung Bidang Penyiaran Negara


Menutup aurat dan memiliki kerjaya yang bersinar bukan suatu yang mudah untuk diperolehi suatu ketika dahulu di bumi Malaysia ini.
Walaupun Perlembagaan meletakkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan di dalam Perkara 3(1), penghayatan Islam di dalam negara sehingga lewat tahun 80'an berada di tahap yang menyedihkan.

Penerapan nilai-nilai Islam di dalam kerajaan serta penghormatan sektor swasta terhadap hak kebebasan beragama bagi seorang wanita muslimah pada ketika itu sedang di dalam proses merangkak. Tetapi gerakan-gerakan Islam di kampus-kampus serta yang digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berjalan agak rancak.

Generasi muda pada hari ini mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa, suatu ketika dahulu, tudung wanita merupakan subjek yang agak tabu di dalam bidang penyiaran. Penyampai-penyampai berita di stesen tv kerajaan dan swasta tidak dibenarkan menutup aurat dengan mengenakan tudung.

Sebagaimana setiap revolusi yang berjaya, ia menuntut keberanian dan pengorbanan. Imbas kembali peristiwa bagaimana salah seorang bekas penyampai berita RTM, Hajjah Wan Chik Hashim atau lebih dikenali dengan nama Wan Chik Daud, bertegas menuntut hak beliau untuk membaca berita tanpa mengorbankan prinsip menutup aurat.

Setelah kembali daripada mengerjakan haji pada tahun 1984, Wan Chik Daud, memohon kebenaran untuk mengenakan tudung semasa menyampaikan berita. Permintaan tersebut ditolak dan Wan Chik ditukarkan serta merta ke program radio.

Sinar harapan datang 14 tahun kemudiannya apabila pada 1998, Ezzah Aziz Fawzy, salah seorang penyampai berita syarikat televisyen swasta TV3, mengambil keputusan untuk mengenakan tudung setelah kembali daripada mengerjakan haji.

Penampilan barunya mengejutkan ramai pihak. Malah lebih mengejutkan ialah bilamana beliau dibenarkan meneruskan kerjayanya sebagai penyampai berita di TV3 dan menjadi penyampai wanita pertama di TV3 mengenakan tudung.

Tindakannya dan tindakan TV3 membenarkannya tampil dengan penampilan bertudung mendapat pujian ramai pihak termasuk golongan bukan Islam di dalam negara. Ezzah, menceritakan bagaimana beliau turut mendapat pujian, sokongan dan cadangan-cadangan fesyen dan warna tudung dari penonton bukan Islam di TV3.

Setelah 62 tahun RTM tidak membenarkan mana-mana penyampai beritanya mengenakan tudung, pada 2008 Hamidah Hamzah menjadi penyampai berita pertama RTM dibenarkan berbuat demikian.

RTM di bawah Menteri Penerangan Dato’ Sri Shabery Cheek pada waktu ini, membuat semakan semula ke atas peraturan lapuk yang menindas hak kebebasan beragama penyampai beritanya.

Hamidah Hamzah, yang mengakui bahawa beliau menunggu hampir tiga tahun untuk dibenarkan berbuat demikian.

Kini, rancangan televisyen, drama dan filem sudah tidak lagi menganggap tudung sebagai satu aspek yang tidak mendatangkan nilai-nilai komersil kepada produk mereka.

Drama tv dan filem kini menampilkan watak-watak bertudung sebagai watak utama. Semakin ramai penyampai berita di kesemua stesen tv yang ada, merupakan penyampai berita bertudung.

Revolusi perjuangan pematuhan ini telah digerakkan dan berjaya. Salut kami kepada srikandi-srikandi di atas. Firman Allah di dalam surah al A’raaf ayat 49 :
"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat."
Setelah kejayaan yang pertama, sudah tiba masanya untuk digerakkan satu lagi revolusi baru. Pengisian program-program yang bernilai takwa yang tinggi kepada Allah SWT.

Sudah tiba masanya penerbit dan pengarah mengalihkan topik-topik filem dan drama dari cerita-cerita yang tidak membina kepada cerita-cerita dan pengisian-pengisian yang dapat mengubah anjakan pemikiran penonton-penonton di Malaysia.

Sebagaimana setiap revolusi yang ada, ia bakal menuntut keberanian dan pengorbanan.

Sumber: Menara.my