Insiden Kecoh: Gambaran Malaysia Ditadbir Pembangkang


KUALA LUMPUR - Kekecohan yang berlaku pada forum 'Nothing to Hide 2.0' menggambarkan bencana yang bakal dihadapi Malaysia sekiranya pembangkang yang diketuai DAP memperoleh kuasa pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri berkata, dakwaan liar yang mempersalahkan Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kekecohan itu oleh pemimpin pembangkang adalah tidak benar, semberono dan tidak bertanggungjawab serta merupakan percubaan jelas untuk mengalih perhatian daripada perpecahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"PPBM bertanggungjawab sepenuhnya kepada acara itu, jadi untuk menyalahkan UMNO atas kekecohan itu merupakan percubaan pembangkang untuk menutup tindakan memalukan itu yang dilakukan anggotanya sendiri.

“Hakikatnya ialah penyokong pembangkang yang hadir kecewa dengan ketidakupayaan (Tun) Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan yang ditanyakan di forum berkenaan mengenaji skandal semasa pemerintahannya seperti pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembunuhan Memali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini dan menambah sebaliknya forum 'Nothing to Hide 2.0' bertukar menjadi 'Everything to Hide'.

Tengku Sariffuddin berkata, setiap orang tahu dan jelas Pakatan Harapan pada asasnya berpecah-belah.

“Apa lagi yang boleh diharapkan daripada pakatan itu yang terbentuk hasil daripada ‘perkahwinan berdasarkan kepentingan’ antara bekas musuh yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memusnahkan antara satu sama lain sejak berdekad lamanya,” katanya.

Tengku Sariffuddin berkata, pihak berkuasa akan menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan perlu seperti yang diperuntuk undang-udang dan pada masa yang sama kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri akan terus memfokus kepada kebajikan ekonomi, kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat. - Bernama