Insurans Kelompok Untuk 265,000 Ahli JKKK, Hanya Carum 55 Sen Sebulan


KUALA LUMPUR  - Skim Insurans Berkelompok kini disediakan kepada semua ahli Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara berkuat kuasa awal tahun depan.

Skim itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 265,000 ahlinya. Pencarum yang kemalangan dan kematian akan menerima antara RM2,500 hingga RM5,000 dengan hanya mencarum 55 sen sebulan atau RM7 setahun.

Kerajaan akan menambah sebanyak RM10 bagi setiap caruman itu.

Kabinet telah bersetuju meluluskan cadangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk melaksanakan skim insu­rans kepada semua ahli.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu di­buat pada mesyuarat Kabinet minggu lalu yang turut meliputi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung Per­se­kutuan (JKKKP) serta Jawatankuasa Ke­majuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli.

“Di bawah skim ini kerajaan bayar RM10 manakala tuan-tuan bayar RM7 untuk setahun maknanya 55 sen sebulan. Faedah kalau meninggal kemalangan akan dapat RM5,000, kalau kematian biasa RM2,500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan JKKK/JKKKP dan Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Putrajaya semalam.

Sementara itu Najib turut melancarkan Kad Identiti JKKK, JKKKP dan JKKKOA yang antara lain memberi diskaun kepada pemegang kad di beberapa lokasi terpilih, sebagai bukti komitmen bahawa kerajaan sentiasa menjaga kebajikan kumpulan itu.

Perdana Menteri juga menyampaikan sijil kepada peserta yang mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa, yang merupakan program kerjasama antara Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu, Kampung Baru Kemasik, Terengganu dinobatkan sebagai johan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan bagi kategori Kampung Tradisional, membawa pulang wang tunai RM100,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM600,000.

Kampung Pengkalan Tereh, Johor pula muncul johan bagi kategori Kampung Orang Asli, manakala Rumah Bengau, Ng Sut, Kapit di Sarawak menjadi johan kategori Rumah Panjang, dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM100,000.

Sebanyak 582 buah kampung menyertai pertandingan Anugerah Desa Perdana di peringkat daerah, 159 kampung di peringkat negeri dan bagi peringkat kebangsaan pula sebanyak 23 kampung dipilih mewakili negeri dalam kategori masing-masing.

Ketika berucap pada majlis itu Perdana Menteri meminta pmimpin di peringkat akar umbi perlu pantas dalam menyampaikan maklumat benar bagi memperbetulkan persepsi negatif rakyat yang sering dikelirukan pembangkang.

Perdana menteri berkata pembangkang kerap kali gemar menyelewengkan fakta dan seterusnya disebar luaskan menerusi media sosial sehingga yang batil menjadi benar, dan sering kali juga kerajaan menjadi mangsa dalam permainan persepsi ini.

Justeru, katanya, sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat, pemimpin peringkat kampung, taman perumahan perlu beritahu mereka (rakyat) jangan mudah terpedaya dengan apa yang disajikandalam media sosial.

" Dalam media sosial banyak pembohongandan banyak juga pendapat. Tolong bezakan antara pendapat, fakta dan realiti. Itulah tugasan kita hari ini, " kata Najib.- Kedahnews.com

"