Isu Bendera Indonesia Terbalik: ‘Kita Akan Lihat Sama Ada Terdapat Unsur Sabotaj’


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat secara mendalam buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang mencetuskan isu berikutan bendera Indonesia yang dicetak terbalik. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya ada terima laporan berhubung perkara itu. 

"Ya...kita akan siasat untuk lihat sama ada terdapat unsur sabotaj atau tidak. 

"Biarkan kami jalankan siasatan dahulu sebelum tindakan seterusnya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) Tahun 2017, di Bukit Aman, hari ini. 

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah mengarahkan supaya semua buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017  tidak diedarkan lagi kerana satu percetakan baharu akan dibuat untuk perbetulkan kesilapan tersebut. 

Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (MASOC) telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Dalam pada itu, Khalid turut mengulas tahap keselamatan sepanjang Sukan SEA 2017 berlangsung dan berkata setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal dan tahap keselamatan kita sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa. 

Katanya, hari itu ada terima aduan semasa pembukaan bahawa pengunjung terpaksa berbaris panjang beratur. 

"Itu kita tidak boleh kompromi kerana itu isu keselamatan. Kalau terpaksa 'q' kita tidak boleh buat apa, yang penting semuanya selamat. Setakat ini semuanya selamat dan berjalan lancar," katanya. 

Sementara itu, Khalid ketika diminta mengulas mengenai kumpulan Ateis berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam bagi memantau aktiviti berhubung kumpulan itu, namun siasatan itu tidak dilakukan oleh polis tetapi Jabatan Agama Islam, yang mengkhususkan kepada orang Islam yang menyertai acara itu.

“Saya dah cakap dan beri amaran supaya orang Islam agar menjauhi aktiviti Ateis. Kita akan bantu jabatan agama Islam untuk memantau aktiviti ini agar tidak berleluasa,” katanya.

Ateis merujuk kepada orang yang tidak percaya pada tuhan.

Khalid  turut berkata perlembagaan negara ini mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, manakala ateis tidak disebut dalam perlembagaan.

Katanya, perkara itu menyebabkan pihaknya akan mengkaji peruntukan yang ada bagi mengambil tindakan sewajarnya sekiranya golongan tersebut menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam.

Terdahulu, kecoh apabila sebuah pertubuhan ateis, Atheist Republic yang berpangkalan di luar negara dikatakan telah mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gambar mereka dimuat naik di Facebook rasmi Atheist Republic pada 3 Ogos lalu dengan keterangan mengenai kejayaan penganjuran  itu dan ahli berkongsi kisah masing-masing.

Sumber: Sinar Harian