Isu Tiket: Penggunaan Sistem Tidak Mesra Penyokong


KAEDAH penjualan tiket perlawanan di negara kita didakwa tidak efisien dan menyusahkan penyokong bola berbanding peringkat antarabangsa.

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendekatan itu dilihat amat  berlainan dengan standard penjualan tiket bagi perlawanan peringkat antarabangsa yang lain (contoh- Olympics/Commonwealth/FIFA).

Ini juga berlainan dengan sistem yang diaplikasikan sebelum ini yang memperuntukkan sejumlah tiket online/offline," katanya.

Justeru, katanya sistem konvensional yang diguna pakai kini telah menyebabkan berlakunya beberapa masalah antaranya menyusahkan para penyokong untuk membeli tiket.

"Kita perlu sedar bahawa rata-rata penyokong pasukan bola sepak bukan berada di sekitar kawasan Lembah Klang tetapi juga di negeri-negeri lain," katanya.

Katanya lagi, penjualan tiket di kaunter sahaja menyukarkan penyokong tegar pasukan bola sepak negara kita yang datang dari seluruh pelosok tanah air.

"Bagaimana dengan penyokong dari  Johor, Sabah dan Perlis?" katanya.

Dalam pada itu katanya, jualan tiket pada hari Isnin, satu hari sebelum permainan akhir juga dilihat sebagai salah satu punca menyukarkan penyokong untuk membeli tiket.

"Kita mungkin lupa bahawa hari Isnin adalah hari bekerja dan masa jualan yang bermula pada waktu pagi tidak begitu memudahkan kebanyakan penyokong pasukan harimau muda yang bekerja," katanya.

Katanya lagi, sistem beratur di kaunter juga menyukarkan warga OKU dan warga emas.

"Masa beratur lebih kurang empat hingga tujuh jam untuk mendapatkan tiket tidak begitu mesra OKU dan warga emas," katanya.

Justeru tegasnya jika diamati, sistem pembelian online dilihat jauh lebih baik.

"Contoh, dengan sistem tebus tiket  selepas kemukakan kad pengenalan akan lebih berkesan dalam menghalang ulat tiket," katanya.

Katanya lagi,  sistem ini dah dilaksanakan di banyak perlawanan peringkat antarabangsa.

"Sistem pembahagian antara jualan langsung di kaunter dan jualan online seperti di perlawanan Fifa dan Liga Perdana Inggeris juga boleh membantu menghalang ulat tiket online serta yang berada di sekitar kawasan stadium.

"Ulat tiket lebih bermaharajalela jika semua tiket dijual offline," katanya.

Katanya lagi, "Mereka ini "profit driven". Lebih sukar untuk orang biasa beli tiket, lebih banyak profit mereka boleh dapat bila jual tiket yang diperoleh mereka," katanya.

Katanya kelemahan itu dapat dilihat ketika ini kerana banyak ulat tiket dah mula jual pada x3-5 kali ganda lagi mahal dari harga yang sudah pun ditetapkan.

"Ini boleh dikawal jika ada sistem online yang telus. Sebelum ini pun, setiap transaksi online hanya boleh dapat 5-10 tiket, disertakan unik ID," katanya.

Oleh itu, harapnya agar cadangan beliau ini dapat diperhalusi oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Ini lah masa untuk kita semua #BangkitBersama. Walaupun ini merupakan satu kritikan, kritikan ini bukan berniat untuk menjatuhkan sesiapa," katanya.

Keadaan stadium yang sesak  sejak awal pagi berikutan orang ramai membeli tiket perlawanan akhir Bola Sepak Sukan Sea ke 29 (KL 2017) di Stadium Shah Alam.

Sebahagian peminat bola sepak merempuh pagar pengadang apabila hanya beberapa kaunter dibuka untuk penjualan tiket, pagi semalam.

Sementara itu, polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan kekecohan pada perlawanan akhir bola sepak itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Shah Alam, venue perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand, esok malam termasuk membuat pemeriksaan badan terhadap setiap penyokong di semua pintu masuk stadium.

Sumber: Sinar Harian