Jaguh Lompat Tinggi Negara Dipilih Pembaca Ikrar Atlet KL2017


KUALA LUMPUR - Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dipilih sebagai pembaca ikrar atlet pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pemilihan atlet berusia 25 tahun itu berdasarkan rekod pencapaian sepanjang penglibatan Nauraj dalam sukan berkenaan.

"Nauraj dilihat sebagai atlet yang menyerlah dalam program Kita Juara, dia melayakkan diri ke Program Podium. Nauraj adalah contoh atlet yang bermula dari bawah dan boleh jadi atlet bertaraf dunia.

"Jadi saya bagi penghormatan kepada Nauraj Singh," katanya kepada pemberita pada program Larian Obor KL2017 di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 di sini hari ini.

Selain itu, Khairy berkata, Nauraj dipilih sebagai pembaca ikrar atlet kerana ketinggian yang dimilikinya iaitu 1.93 meter yang boleh menjadi tumpuan ketika ikrar dibacakan pada upacara pembukaan rasmi KL2017 pada 19 Ogos ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Bernama