Jangan Pandang Rendah Pada Bikers, Mereka Juga Hafaz Al-Quran


KOTA BHARU - Sehebat deruman motosikal berkuasa tinggi, alunan surah Yasin yang kuat dibacakan beramai-ramai oleh 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan begitu menenangkan hati.

Pagi Jumaat yang berkat, di Masjid Iktikaf Jaemek Panji di sini, mereka solat dhuha, kemudian Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Bharu, Datuk Seri Jae Affandi Hussin mengimamkan solat hajat berjemaah.

Hasanuddin berkata, jangan menilai bikers berkenaan dari segi pemakaian kerana mereka pakai ala ‘hippies’, namun sudah ramai yang menjadi penghafal al-Quran (hafiz).

“Kita tak sangkal dulu persepsi terhadap bikers kurang memuaskan hati, namun pada hari ini, mereka sudah berubah, malah tidak lagi melakukan kesalahan.

“Program seperti World #QuranHour yang dianjurkan ini sekurang-kurangnya mengingatkan kita termasuk ahli MCPF Bikers, bukan sahaja perlu meningkatkan bacaan al-Quran, malah kesedaran terhadap al-Quran iaitu yang kurang pandai membacanya perlulah belajar,” katanya.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi MCPF Negeri Kelantan, Datuk Aziz Nawi, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Sidik, isteri Jae Affandi, Datin Seri Fatimah Desa dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Berpesan pada ucapannya, Hasanuddin mengingatkan supaya penunggang motosikal supaya tidak sesekali berkhayal dan mengantuk semasa menunggang.

“Jangan lupa baca doa, kalau nak pecut, kita kena ingat halangan yang kita tak jangka di hadapan, yang mana, kelajuan motosikal motosikal berkuasa tinggi biasanya tidak sesuai dengan kualiti jalan raya yang boleh mengakibatkan kemalangan.

“Jadi, saya nasihatkan,  mereka perlu mengawal pemikiran supaya tidak lalai dan tidak mengantuk bagi mengelakkan motosikal terbabas atau terlibat kemalangan.

"Juga perlu berhati-hati kerana kecederaan penunggang motosikal berkuasa tinggi lebih parah berbanding motosikal biasa,” katanya.

Beliau menyokong usaha World #QuranHour atau Merdeka #QuraqnHour yang dianjurkan pada 31 Ogos nanti, yang mana, katanya, untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi, bikers dinasihatkan sentiasa menghayatinya untuk keselamatan dan kesejahteraan di dunia serta akhirat kelak.

Sementara itu, Jae Affandi berkata, penganjuran World #QuranHour mampu membentuk umat Islam membaca al-Quran dan mencari apa yang terkandung di dalamnya, dikaitkan dalam kehidupan seharian bikers.

“Kita mahu bikers buat perubahan diri, kalau boleh biarlah ‘ride’ yang dijalankan ditukar kepada ‘Ride To Dakwah’, sebab itulah, saya galakkan mereka kekalkan cara pemakaian biarlah menunjukkan identiti sebenar.

“Transformasi pada diri sendiri iaitu biasanya ride hanya untuk kepuasan diri semata-mata, kini diberi nafas baru iaitu ‘Ride To Dakwah’ ini bermaksud kita ride yang mempunyai mesej, khususnya memberi kesedaran kepada golongan muda atau generasi yang minat dalam permotoran supaya bersama membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat.

“Mereka terdiri daripada golongan berada, profesional dan mereka yang berkerjaya, jadi saya rasa rugi sekiranya ilmu dan kekuatan yang ada, jika tidak dibangunkan dan diberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, bikers juga turut dialu-alukan menyertai program World #QuranHour yang akan dijalankan secara serentak di seluruh dunia pada jam 12 tengahari hingga 1 petang bagi peringkat negeri Kelantan di Masjid Muhammadi pada Hari Merdeka, 31 Ogos ini.

Sumber: Sinar Harian