“Jangan Percaya! Itu Bukan Saya” – Aisyah Aziz


PENYANYI Aisyah Aziz berang apabila ada pihak yang menggunakan namanya sebagai cara memperdayakan orang ramai yang mahu mencuba nasib dalam industri seni tanah air.

Adik kepada penyanyi Aliff Aziz ini berkata, perkara itu diketahui selepas dia mendapat aduan daripada peminat yang terpedaya dengan penipuan itu.

"Itu bukan saya!, saya juga terkejut dan marah apabila ada individu yang guna nama saya di aplikasi Wechat menawarkan peluang berlakon yang mana kononnya saya ada mencari pelakon baru.

"Saya dapat tahu bila ada peminat yang bertanya tentang perkara itu betul atau tidak daripada saya," ujarnya kepada mStar Online.


Aisyah berkata, dia juga tidak pernah berdaftar dan mempunyai aplikasi laman sembang berkenaan.

Tambahnya lagi, penipuan seperti itu merupakan kali kedua yang melibatkan namanya sejak bergelar artis.

Dia berharap peminat tidak mudah percaya dengan perkara dengan pengguna laman sosial yang menggunakan nama artis untuk tujuan tertentu.

"Peminat tolonglah jangan mudah percaya dengan nama-nama artis di laman sosial, lebih-lebih lagi yang menawarkan pelbagai perkara melibatkan wang.

"Sesiapa pun boleh menggunakan nama artis yang mereka mahu di laman sosial dan perkara itu sukar untuk dikawal," ujarnya.

Sumber: Mstar Online