SEPANJANG berada di masya'ir khususnya di Arafah, jemaah haji dinasihatkan menjauhi segala perbuatan atau amalan berbentuk khurafat dan syirik.
Peringatan itu diberikan Pengarah Operasi Bimbingan 1438 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah.
Beliau berkata, ketika Wukuf dan sepanjang di masya'ir, jemaah haji sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada ibadat masing-masing.
Menurutnya, perjalanan kerohanian yang menjadi matlamat utama ke Tanah Suci tidak patut dicemari dengan perbuatan yang boleh menjejaskan kesempurnaan ibadat haji.
"Perbuatan khurafat ini juga ditegah dalam Islam kerana boleh menghampiri kepada syirik," katanya.
Katanya, antara perkara atau perbuatan khurafat dilakukan jemaah ialah memotong tali khemah di Arafah untuk dibawa pulang ke tanah air.
"Mereka sanggup melakukan perbuatan ini konon bagi melariskan jualan, memberikan kebahagian dan membantu kehidupan mereka.
"Kalau nelayan pula, konon dapat membantu mereka mendapat ikan dan hasil tangkapan lebih banyak.
"Selain itu, ada juga yang mengambil periuk nasi daripada tukang masak di Arafah konon kerak nasi itu boleh memberikan hidup mereka bahagia.
"Ada juga yang menanam duit di Arafah konon ia boleh beranak dan berkembang serta murah rezeki," katanya.
Beliau berkata, semua perbuatan itu bukan saja tidak berfaedah dan berdosa, malah menjejaskan kesempurnaan ibadat haji hingga menyebabkan tidak memperoleh haji mabrur.
Katanya, jemaah sepatutnya mengambil peluang Hari Wukuf dengan memperbanyakkan ibadat termasuk berdoa.
"Kalau nak kaya, berdoa di depan Kaabah di multazam. Begitu juga di Arafah iaitu antara tujuh tempat yang mustajab berdoa," katanya.
Sumber: MyMetro