Jemaah Perlu Berhati-Hati Tawaran Pakej Haji Murah


SHAH ALAM - Tabung Haji mengingatkan jemaah haji agar lebih berhati-hati dengan penawaran pakej menunaikan Rukun Islam ke lima dengan harga lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya ada mengesan dan dihujani dengan pertanyaan mengenai pakej tertentu yang ditawarkan menerusi media sosial akhir ini.

"Jika ada rakyat Malaysia yang mendaftarkan menerusi mana-mana pakej yang ditawarkan selain daripada Tabung Haji, TH Travel & Services Sdn Bhd dan Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji, mereka hendaklah membuat semakan di 125 cawangan Tabung Haji seluruh negara dan di laman web www.tabunghaji.gov.my bagi mengelak ditipu oleh pihak tidak bertanggung jawab.

"Tahun lepas, masalah sama pernah berlaku di mana, mereka yang mengikuti pakej yang tidak sah atau tidak berdaftar dengan Tabung Haji mengalami masalah antaranya tidak mendapat apa-apa perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan kami," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jelas Abdul Azeez lagi, antara masalah yang dihadapi adalah gagal mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji dan mendapat rawatan kesihatan di hospital Tabung Haji sebagaimana dengan jemaah lain.

"Saringan keselamatan  yang dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi juga amat ketat dan tinggi, jadi bakal jemaah jangan mengambil mudah perkara ini.

"Pihak berkuasa akan mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang melanggar peraturan dan menggunakan perkhidmatan yang tidak sepatutnya semasa musim haji ini," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Abdul Azeez memberitahu, daripada 532 jemaah yang menghadapi beberapa masalah termasuk visa, pihaknya telah selesaikan perkara ini.

"Sehingga kini hanya 14 lagi jemaah yang dilaporkan terkandas dan kita sedang menyusun jadual penerbangan mereka. Mereka ini diletakkan dalam senarai menunggu di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

"Apabila ada kekosongan seperti bakal jemaah gagal melaporkan diri, mereka ini akan mengisi kekosongan penerbangan itu," katanya.

Sementara itu, jelas Abdul Azeez lagi pihaknya sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan Arab Saudi dan menghormati peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Sumber: Sinar Harian