JENTERA Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) yang berfungsi sebagai platform bersama jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 telah mendekati hampir 80 peratus pengundi peringkat akar umbi seluruh negara.
Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun memberitahu kerjasama gabungan gerak kerja melibatkan Pemuda dan Puteri akan lebih melancarkan proses bancian serta sokongan pengundi baharu kepada parti.
Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun memberitahu kerjasama gabungan gerak kerja melibatkan Pemuda dan Puteri akan lebih melancarkan proses bancian serta sokongan pengundi baharu kepada parti.
"Jalinan Rakyat yang sebelum ini di bawah tanggungjawab pergerakan Wanita, kini dibesarkan melibatkan sayap jentera Pemuda dan Puteri dalam pembentukan JR Plus.
"Menerusi JR Plus pastinya akan wujud koordinasi kerja yang baik malah pertindihan kerja dapat dielakkan. Kini kita menjejaki pengundi muda lelaki sama ada Melayu atau bukan Melayu begitu juga dengan sayap Puteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut, Perak semalam..
Menurut beliau, kerjasama tersebut akan membantu melengkapi usaha yang dijalankan sejak PRU-13 lagi dan membantu mendapatkan keputusan dengan lebih tepat.
"Sejak PRU-13, wanita tidak henti menjalankan bancian dan menarik pengundi baharu semua kategori termasuk pengundi atas pagar. Jadi dengan usaha bersama pemuda dan puteri, pastinya statistik dan keputusan akan lebih baik," katanya.
JR Plus yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu menggabungkan jentera pilihan raya Wanita, Pemuda dan Puteri serta turut melibatkan penyertaan parti komponen BN serta sayap masing-masing.
Sementara itu, Khairul Azwan meminta jentera meningkatkan persediaan kerana PRU-14 merupakan satu jihad bagi memerangi golongan yang membawa fitnah bertujuan merosakkan perpaduan serta memecahbelahkan rakyat.
- Bernama