SANDAKAN - Jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO perlu digerakkan lebih teratur bagi menangkis dakyah pembangkang yang memburukkan parti serta kepimpinan menerusi media sosial, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Musa yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata tindakan pembangkang bermaharajalela memfitnah melalui media sosial tidak boleh dibiarkan kerana ia mampu mempengaruhi rakyat, khususnya generasi muda.
"Kita kena lengkapkan diri dan sentiasa peka dengan isu-isu semasa. Jangan berdiam diri atau sambil lewa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Libaran, di sini semalam
Musa yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata pada masa sama sayap parti perlu memanfaatkan media sosial untuk mendekati dan menyantuni golongan muda dan pengundi baharu.
Selain menggunakan media sosial, tiga sayap ini juga perlu selalu turun padang untuk berjumpa rakyat bagi memberi penjelasan isu-isu yang dibawa parti pembangkang, katanya.
Beliau berkata pemimpin dan anggota UMNO perlu berani mempertahankan parti dan Barisan Nasional (BN) kerana kedua-dua parti ini mempunyai rekod baik dalam membela rakyat dan mentdbir kerajaan negeri Sabah dan persekutuan.
Ini kerana katanya pemimpin UMNO dan BN sentiasa sedar apabila diberi tanggungjawab oleh rakyat, ia harus dijalankan dengan sebaik mungkin agar rakyat tidak berasa kecewa .
-Bernama