Jom Penyokong Sorak Harimau Malaya!


SKUAD bawah 22 tahun (B-22) negara bakal berdepan ujian sebenar dalam kempen Kumpulan A apabila menentang Myanmar, Isnin ini, bagi memburu slot ke separuh akhir.

Myanmar, naib juara Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, membuktikan kehebatan dengan membelasah Brunei 6-0, semalam, untuk kemenangan ketiga berturut-turut sekali gus muncul pasukan pertama layak ke pusingan seterusnya.

Persembahan anak buah Datuk Ong Kim Swee pula kurang meyakinkan meskipun menang 2-1 ke atas Brunei dan Singapura.

Bagaimanapun bagi pemain sayap Safawi Rashid, dia dan rakan sepasukan tidak gentar untuk bertemu Myanmar kerana mereka memiliki pemain ke-12.

“Bagi saya, penyokong adalah pemain ke-12 dalam pasukan. Lihat saja perlawanan dengan Singapura, kita sudah ketinggalan tapi berjaya bangkit untuk mencipta kemenangan dan ini adalah sokongan padu penyokong yang menaikkan semangat pemain,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan, semalam.

Aura positif yang dicetuskan skuad muda negara selepas layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan, menjadi faktor kehadiran semula penyokong termasuk Ultras Malaya ke stadium.

Ini dapat disaksikan dengan kehadiran lebih 40,000 penyokong dalam perlawanan menentang Singapura, Rabu lalu.

Safawi yang mewakili kelab Johor Darul Ta’zim berkata, mereka tidak tertekan dengan harapan tinggi penyokong tempatan untuk memburu pingat emas di laman sendiri sejak 1989.

“Kita sudah meraih dua kemenangan tapi kita masih belum layak ke separuh akhir. Memang dalam dua perlawanan itu kita bergelut untuk menang tapi saya percaya jurulatih ada strategi tersendiri untuk berdepan Myanmar.

“Pada saya, kita tak ada tekanan meskipun Myanmar sudah layak ke separuh akhir, kita bermain di tempat sendiri, jadi kita akan bermain seperti biasa cuma tidak boleh leka dalam setiap saat sekali pun,” katanya.

Andai meraih tiga mata penuh ke atas Myanmar, Malaysia akan mara ke separuh akhir dan berpeluang untuk muncul juara kumpulan jika menewaskan Laos pada aksi terakhir 23 Ogos ini.

Sumber: MyMetro