Jordan Batal Artikel Benar Perogol Kahwini Mangsa


AMMAN - JORDAN. Parlimen Jordan, kelmarin membatalkan artikel kontroversi dalam kanun jenayah yang membenarkan perogol terlepas hukuman jika berkahwin dengan mangsa mereka.

Agensi berita Petra melaporkan, penggubal undang-undang bersetuju mengeluarkan Artikel 308 yang menyebabkan pelaku jenayah seksual terlepas hukuman jika dia mengahwini mangsa dan tidak menceraikannya selama lima tahun.

"Artikel itu dibatalkan selepas Parlimen meluluskan pindaan terhadap kanun jenayah tersebut," menurut laporan terbabit.

Difahamkan, Perdana Menteri, Hani Mulqi turut menyokong langkah itu ketika sesi di Parlimen tersebut.

Kumpulan aktivis berkempen beberapa tahun untuk menghapuskan artikel itu yang didakwa jelas menindas wanita. 

Sumber: Sinar Harian