JPJ Bersedia Urus Pengangkutan Peserta Pada KL2017


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia menguruskan pengangkutan kepada lebih 13,000 peserta terdiri daripada atlet, pegawai sukan dan pegawai teknikal sepanjang Temasya Kuala Lumpur 2017 bermula 19 Ogos hingga 23 September ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, lebih 1,200 anggota jabatan berkenaan dari seluruh negara terbabit dalam menjayakan temasya sukan itu.

"Selain itu, petugas akan dibantu 479 sukarelawan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) yang ditugaskan bagi Sukan SEA 2017 dan 300 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Sukan Para ASEAN 2017.

"JPJ turut menyediakan 300 bas yang akan memberi perkhidmatan sepanjang tempoh Sukan SEA ini," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun anggota JPJ dari seluruh negara terbabit dalam temasya itu, ia tidak menjejaskan sebarang operasi dan kelancaran tugas di setiap negeri.

Sumber: MyMetro