JPJ Siasat Taktik Elak Saman AES Guna Semburan


KUALA LUMPUR  – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyiasat dakwaan wujudnya penggunaan satu bahan semburan yang boleh menyebabkan nombor pendaftaran kenderaan tidak kelihatan sekali gus mampu mengelak rakaman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan atau laporan daripada orang awam dan anggota JPJ sendiri mengenai taktik tersebut.

Bagaimanapun katanya, pihak JPJ akan mengkaji perkara tersebut supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Kita tahu pelbagai helah seperti mengu­bah suai nombor pendaftaran telah digunakan oleh pemandu untuk mengelak saman AES. Jadi kita akan semak perkara ini pula bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terlepas sekiranya melakukan kesalahan.

“Tindakan sesetengah pihak yang sentiasa mencari jalan mudah untuk mengelak daripada penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya berlaku kerana tujuan utama pemasangan AES adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang membabitkan isu keselamatan kita,” katanya.

Beliau diminta me­ngulas mengenai video berdurasi satu minit 40 saat yang menunjukkan cara pemandu mampu mengelak saman AES dengan hanya menggunakan semburan pada plat pendaftaran kenderaan.

Sumber: Utusan Online