Jumpa Kondom Di Pusat Refleksologi


TAWAU - Jabatan Imigresen menahan 21 individu, 13 daripadanya wanita dalam serbuan di beberapa pusat hiburan dan spa di Jalan Hilltop, di sini yang dipercayai juga menawarkan perkhidmatan seks.

Turut ditahan dalam operasi bermula jam 10 malam itu ialah lapan lelaki warganegara asing.

Ketua Imigresen Tawau, Noraini Rasi, berkata serbuan dijalankan susulan maklumat orang awam dan risikan mendapati ada antara premis terbabit menggaji pekerja asing tanpa dokumen serta permit kerja yang sah.

Beliau berkata, pihaknya percaya ada antara premis yang diserbu berselindung di sebalik pusat refleksologi bertujuan mengaburi pihak berkuasa, sebaliknya mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral.

"Ketika serbuan, kita dapati mereka bukan sahaja berpakaian tidak sopan dan mencolok mata, malah tidak menunjukkan ciri-ciri sebagai pekerja pusat urut dan refleksologi.

"Kami syak mereka menawarkan perkhidmatan seks," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pemeriksaan juga mendapati ada antara premis terbabit mempunyai bilik serta laluan rahsia kerana kakitangan Imigresen berjaya mengesan beberapa pekerja cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di bilik berkenaan.

Turut ditemui, katanya, beberapa permainan seks dan kondom.

Beliau berkata, operasi itu berjaya memeriksa 176 orang dengan 10 ialah wanita warganegara Indonesia serta tiga wanita Filipina.

"Lapan lelaki masing-masing empat warganegara Indonesia dan empat Filipina berumur antara 17 hingga 34 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Ada beberapa pengunjung pusat hiburan di bawah umur turut ditahan, namun dibebaskan selepas kita menghubungi ibu bapa mereka," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahan Sementara Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: BH Online