Juru Kimpal Dijel 6 Tahun, 12 Sebatan


KOTA BHARU – Seorang juru kimpal dihukum penjara enam tahun dan 12 sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini hari ini kerana memiliki 5.42 gram heroin, April lalu.

Hakim, Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Che Mohd Adnin Che Omar, 32, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Tertuduh didakwa memiliki heroin tersebut di tepi Jalan Sultan Yahya Petra, di sini pada jam 12.05 tengah malam, 28 April lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam tersebut merayu supaya mahkamah meringankan hukumannya dengan alasan dia insaf dan menyesal terhadap perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun pula mencadangkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam supaya tidak mengulangi jenayah sama.

Nazri kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 28 April 2017.

Sumber: Sinar Harian