Jurulatih Myanmar Malu Aksi Anak Buah


SHAH ALAM - "Cara kami bermain pada babak pertama sangat memalukan. Saya sendiri rasa malu dan ia tidak patut berlaku."

Demikian ulasan pengendali Myanmar, Gerd Friedrich Zeise yang mengakui kecewa dengan persembahan pemainnya yang menyaksikan mereka tumbang 3-1 di tangan Malaysia pada aksi Kumpulan A Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Jelasnya, anak buahnya gagal memperagakan rentak sebenar seperti mana yang dilakukan dalam tiga aksi sebelum ini yang menyaksikan Myanmar meraih sembilan mata sebelum ini.

"Pemain saya tidak bermain seperti biasa. Walaupun kami sudah layak ke separuh akhir lebih awal, namun persembahan kami agak memalukan," katanya pada sidang media perlawanan.

Malaysia yang memburu kemenangan ketiga bagi menjamin tempat ke separuh akhir, berjaya mendahului pelawat menerusi jaringan penyerang FELCRA FC, N Thanabalan pada minit ke-35.

Gol pertama itu nyata mengganggu fokus pemain Myanmar apabila berselang dua minit kemudian Safawi Rasid menambah gol kedua menerusi tandukan hasil hantaran silang cantik S Kumaahran di sebelah kanan.

Kemasukan tiga tenaga baharu pada babak kedua iaitu Muhammad Danial Amier, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Jafri Firdaus Chew jelas tepat apabila rangkaian pemain itu berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Jafri yang tidak beraksi pada aksi kedua menentang Singapura pada Rabu lalu, melakukan hantaran silang yang menuju tepat ke kepala Thanabalan buat mencetak gol ketiga perlawanan di minit ke-82.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan negara pada lima minit terakhir dihukum penyerang pelawat, Than Paing sekali gus mengakhiri tempoh 90 minit untuk tiga mata memihak tuan rumah.

"Kami perlu bangkit pada aksi separuh akhir nanti dengan kemungkinan bertemu Vietnam. Saya harap rehat lima hari ini mampu melonjakkan semula semangat pemain untuk pertemuan getir itu," katanya.

Sumber: BH Online