Kakak Ipar Lim Guan Eng Disamun


KAKAK ipar Ketua Menteri Pulau Pinang disamun seorang lelaki di rumahnya di Minden Heights, Gelugor, Georgetown, malam tadi.

Kejadian 8.15 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 51 tahun dan bekerja sebagai doktor pakar baru tiba di rumahnya.

Sumber polis berkata, ketika kejadian, mangsa membuka pintu pagar automatik dan mahu meletakkan keretanya di halaman rumah.

"Tiba-tiba seorang lelaki dipercayai bersenjatakan spanar memecahkan cermin bahagian penumpang dan melarikan beg milik mangsa.

"Dalam beg terbabit mengandungi wang tunai, telefon bimbit dan dokumen peribadi. Jumlah kerugian dianggarkan RM2,000," katanya.

Sumber berkata, seorang lagi suspek menunggu rakannya di luar rumah dan mereka melarikan diri dengan sebuah motosikal.

"Setakat ini, kedua-dua suspek masih dikesan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber: MyMetro