KUALA LUMPUR - "Kamu rebah, ibu akan sambut. Kamu gagah, ibu akan sentiasa berdiri di belakang mu."
Itulah kata-kata Hazirah Hamsah, ibu kepada atlet kebangsaan gimrama, Izzah Amzan.
Ibu yang berusia 47 tahun itu mengakui tidak pernah meninggalkan mana-mana pertandingan yang disertai anaknya dalam negara.
"Saya nak lihat apa yang dia lakukan. Saya mahu saksikan jatuh bangun anak saya.
"Mungkin ada ibu bapa tidak boleh tengok, tetapi saya mahu tengok depan mata saya," katanya ketika ditemui selepas Izzah memenangi pingat emas bagi acara gimrama wanita berkumpulan dalam pertandingan sukan SEA di Kuala Lumpur.
Jelasnya, Izzah mula melibatkan diri dalam sukan gimrama dan aktivi lain seperti lakonan dan muzik seawal usia 5 tahun.
"Ketika dia berusia 12 tahun, saya sudah tanya dia, apa cita-citanya?
"Saya tidak mahu dia rasa terasa seperti dipaksa. Jadi, dia buat keputusan untuk masuk sekolah sukan Bukit Jalil," katanya.
Mengulas berkenaan rutin harian, jelasnya Izzah berlatih setiap hari kecuali Ahad.
Melihat aturan ketat yang perlu dilalui anaknya setiap hari, beliau mengakui ada kalanya pernah berasa kesal dengan keputusan itu.
"Ya, saya selalu rasa begitu, dan saya persoalkan 'kenapa saya letak anak saya di sini' kerana kasihankan dia.
"Pada awalnya, mereka seperti sudah meninggalkan dunia kanak-kanak, berjauhan dengan keluarga, cara pemakanan sendiri dan tidak ada cuti.
"Tetapi dia tidak berasa begitu, dia amat meminati sukan gimrama," katanya.
Antara detik memilukan yang dilalui sebagai ibu adalah melihat anaknya mengalami kecederaan fizikal selama setahun.
"Ketika pertandingan First World Cup di Rusia, Izzah mengalami kecederaan di lutut dan juga pinggang.
"Dia sakit selama setahun, itu adalah saat yang sangat menyedihkan bagi dia. Di situlah saya sambut dia," kata Hazirah.
Beliau yakin, pembentukan disiplin adalah sangat penting dalam pembangunan anak-anaknya.
"Disiplin itu penting, dan saya yakin sukan dapat membentuk disiplin itu pada anak saya.
"Saya tidak menyentuh kepada sukan gimrama sahaja, apa sahaja bidang. Saya rasa dengan disiplin, ia dapat membentuk anak-anak untuk lebih berdikari," katanya.
Izzah yang berusia 17 tahun merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Walaupun sibuk dengan latihan, kata Hazirah, beliau dan suami tetap menekankan kepentingan akademik dan berharap anaknya lulus subjek utama dalam SPM.
Sumber: Astro Awani