Kapal Bertembung : Usaha Berterusan Cari 10 Kelasi Hilang


SINGAPURA - Operasi menyelamat dilancarkan untuk mencari 10 kelasi yang hilang selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) bertembung dengan kapal tangki di timur Singapura hari ini, kejadian kedua membabitkan kapal perang AS dalam masa dua bulan.

Tentera Laut AS dalam satu kenyataan berkata, kapal USS John S McCain bertembung dengan kapal dagang Alnic MC di timur Singapura dan berhampiran Selat Melaka awal pagi ini.

"Buat masa ini, 10 kelasi hilang dan lima cedera. Usaha mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

"Tahap kerosakan dan kecederaan sedang dinilai manakala punca kejadian akan disiasat," katanya.

Sementara itu, Senator John McCain menerusi akaun Twitter berkata, beliau dan isteri mendoakan keselamatan kelasi dalam kapal berkenaan serta menghargai usaha mencari dan menyelamat kru.

Operasi menyelamat membabitkan bot layar, helikopter dan kapal peronda polis pantau dan dua jet AS juga bertindak balas.

Nahas dilaporkan berlaku pada jam 5.25 pagi tadi ketika ia melakukan lawatan pelabuhan rutin di Singapura.

Kapal tangki yang terbabit dalam nahas itu membawa bendera Liberia dan digunakan untuk mengangkut minyak serta bahan kimia seberat 30,000 tan, menurut laman web industri, Marine Traffic. - AFP