KDN Capai 90 Peratus KPI Dalam Enam Bulan 2017 - TPM


PUTRAJAYA  - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah berjaya mencatatkan pencapaian 90 peratus bagi kesemua 38 inisiatif Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan untuk 2017.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian tersebut kerana melebihi sasaran 69 peratus yang ditetapkan bagi tempoh berkenaan.

Katanya lagi, KDN mengambil tanggungjawab untuk meletakkan sebanyak 38 inisiatif KPI tahun ini berbanding 28 inisiatif yang disarankan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

“Insya-Allah, kalau semua warga KDN bekerjasama sebagai satu pasukan, kita akan mencapai sasaran pencapaian sebanyak 138 peratus untuk kesemua 38 inisiatif KPI bagi keseluruhan tahun 2017,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

SumbeR: Utusan Online