KE MANA "hilangnya" wang untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang?
Adakah parti pembangkang di negeri-negeri berkenaan sedar, tindak- tanduk mereka "melenyapkan duit itu' juga sedang diperhati rakyat?
Persoalan itu yang disuarakan oleh ramai pihak sebelum ini, kini turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rakaman audio yang dimuat naik di blog najibrazak.com semalam.
Di sebalik keghairahan mereka memperlekeh dan memperkecil projek rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan, Najib menempelak parti pembangkang dalam mengurus tadbir negeri yang diterajui mereka.
"Baru-baru ini sudah mula terbongkar di negeri-negeri mereka tentang skandal banglo, rumah Disneyland, harga terowong, pintu gerbang dan lebuh raya yang dibina berlipat ganda lebih tinggi daripada sepatutnya.
“Ke mana hilangnya wang ini? Apakah skandal kewangan mereka ini bertujuan untuk membina MRT dengan lebih murah?” kata Najib.
Perdana Menteri Berkata, sebelum ini mereka memperlekehkan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang diilhamkan agar rakyat di bandar berpeluang menikmati jaringan pengangkutan awam lebih cekap dan mengecapi kualiti hidup lebih baik, sekali gus dapat mengembangkan ekonomi negara.
Pihak pembangkang memperkecil-kecilkan jaringan MRT itu kononnya mereka boleh membina dengan kos lebih murah, malah, sewenang-wenangnya memperlekeh hasil kepakaran anak tempatan yang bertungkus-lumus menyiapkan projek itu pada kos lebih rendah dan lebih awal daripada jangkaan asal" kata Najib.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, beliau sedar rakyat sentiasa memerhati segala tindakan kerajaan, namun mereka juga tidak boleh terlepas pandang dengan pelbagai perkara ‘aneh’ dalam pentadbiran pembangkang.
“Pokoknya, projek MRT aliran pertama kini sudah siap dan rakyat Malaysia telah mula menikmati kemudahan ini.
“Saya turut teruja untuk terus memastikan pelbagai lagi transformasi dijalankan ke atas sistem pengangkutan awam negara pada masa hadapan,” katanya. - Kedahnews.com