Kedah Kekal Negeri Pertanian, RM1 Bilion Untuk Majukan Petani Kawasan MADA


ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan mengekalkan Kedah sebagai negeri pertanian berikutan peruntukan RM1 bilion kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan hasil pendapatan petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah berkata, pembangunan sektor pertanian berdaya maju  itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Kedah sebagai Food Valley atau lembangan pengeluar utama bahan makanan.

Dalam masa yang sama, kata Ahmad Bashah, kerajaan akan membangunkan kawasan sawah di persekitaran  bandar khususnya di Alor Setar dengan projek-projek yang bukan pertanian termasuk memperhebatkan industri pembuatan dan perkhidmatan.

"Saya ingin menegaskan bahawa sawah di kawasan MADA yang diambil itu untuk tujuan perindustrian akan diganti dengan tanah di kawasan lain bagi tanaman yang sama", katanya.

Menteri Besar berkata demikian semasa menggulung perbahasan di atas titah ucapan Sultan Kedah pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darulaman, di sini semalam.

Ahmad Bashah juga memberitahu, Kedah akan berusaha untuk menarik lebih banyak pelabur asing dan tempatan selain memperkemaskan sektor pelancong bagi meningkatkan pendapatan negeri  untuk menyediakan peluang kerja dan perniagaan kepada rakyat negeri ini.

Terdahulu bekas menteri besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (PPBM- Ayer Hitam) yang mencelah ketika sesi penggulungan mencadangkan sektor pertanian ditukar kepada perindustrian supaya pesawah tidak lagi bergantung kepada pemberian subsidi kerajaan Persekutuan. 


Ahmad Bashah memberi jaminan bahawa syarikat Northern Gateway yang akan melaksanakan Bandar Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam bernilai RM5 bilion itu, akan memberi komitmennya bagi merealisasikan projek bandar baharu yang berprestij itu.

Kata Ahmad Bashah, perancangan bandar pelancongan bebas cukai yang kedua selepas Pulau Langkawi itu adalah sejajar dengan kedudukan Bukit Kayu Hitam di pintu masuk utama utara Semenanjung.

Bandar itu diilhamkan oleh Menteri Besar untuk menarik lebih ramai pelancong berikutan rancangan kerajaan membukan pintu sempadan Malaysia - Thailand sepanjang masa berbanding 20 jam pada masa ini.
.
Sementara itu, Ahmad Bashah menjelaskan pendidikan Islam akan terus dikembangkan termasuk menyediakan peruntukan RM16 juta bagi menaik taraf Maktab Mahmud di seluruh negeri dan menambah bilangan pelajar Tahfiz Sains Kulim daripada 280 pelajar kepada 600 pelajar.

Ini adalah antara usaha untuk menjadikan Kedah sebagi hub pengajian pondok, kata Ahmad Bashah lagi.

Secara keseluruhannya, Menteri Besar yakin kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional kini berada di landasan yang betul dalam merancang pelbagai pembangunan yang tersusun bagi memberi kesesejahteraan kepada rakyat negeri. - Kedahnews.com.