Kedah Perlu Projek Besar Untuk Lonjak Ekonomi, Bawa Pelabur Ke Luar Bandar - Ku Rahman


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memerlukan projek-projek besar bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam usaha meningkatkan perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, ia perlu memandangkan negeri Jelapang Padi itu masih agak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dari sudut tersebut.

"Untuk mendapatkan pertumbuhan ekonomi secara loncatan, kita perlu buat projek besar untuk lonjakkan ekonomi kita sebanyak 10 peratus," katanya.

Kedah yang ketika ini menyumbang 3.6 peratus dalam KDNK negara, berupaya menyumbang peratusan yang lebih tinggi dalam KDNK negara menjelang 2020, katanya ketika menggulung perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Keyakinan itu, katanya, didorong oleh pertumbuhan KDNK negeri yang konsisten iaitu 6.3 peratus atau RM1.76 bilion setahun sejak 2010, dan ia diunjur terus meningkat sehingga RM41 bilion pada tahun ini.

Menurut Dr. Ku Rahman, kerajaan akan membawa industri besar ke luar bandar seperti Bandaraya Getah (Rubber City)  di daerah Padang Terap untuk memajukan kawasan kampung supaya rakyat menikmati pekerjaan dan perniagaan.

Sementara itu, kata Ku Rahman, walaupun industri pembuatan agak ketinggalan berbanding Selangor dan Pulau Pinang, sektor perkhidmatan di negeri ini memberikan sumbangan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Beliau menafikan kerajaan tidak menumpukan di sektor perindustrian dan lewat  melaksanakannya dengan merujuk Taman Teknologi Tinggi Kulim yang mengambil masa panjang untuk direalisasikan berbanding pelbagai projek yang dilaksanakan sekarang.

" Tidak seperti pihak sebelah sana, kita bukan sekadar bercakap, tetapi kita melaksanakannya," kata, Ku Abdul Rahman.

Sementara itu beliau turut mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) daripada negeri Kedah disumbangkan kembali lima peratus untuk kerajaan melaksanakan projek untuk bagi kesejahteraan rakyat negeri.- Kedahnews.com 
   .