KUALA LUMPUR - Semua pihak tidak seharusnya menuding jari kepada sesiapa termasuk UMNO dalam kekecohan yang berlaku dalam program Nothing to Hide 2.0.
Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin berkata, insiden itu juga tidak seharusnya terjadi dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi dan menyokong politik matang.
"Sebaliknya, biarlah insiden itu ditangani dan diuruskan sepenuhnya oleh polis tanpa perlu wujud pelbagai provokasi politik yang akhirnya membentuk sentimen kebencian kepada mana-mana pihak dan yang paling rugi adalah orang politik itu sendiri.
"Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, seharusnya saluran Dewan Rakyat digunakan sebagai medium menzahirkan pendapat, hujah serta kritikan sama ada kepada kerajaan mahupun pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Rahman berkata demikian mengulas insiden kekecohan dalam program yang Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad.
Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah hampir diserang dalam insiden kerusi terbang dan pembakaran suar berlaku ketika bekas perdana menteri itu sedang berucap.
Jelas Rahman, program itu sebenarnya pada akhirnya hanya membangkitkan rasa marah di kalangan hadirin yang datang.
"Dengan apa yang berlaku itu, elok juga supaya forum seumpama itu tidak diteruskan pada masa depan memandangkan ia jelas mengandungi unsur provokasi terbuka sehingga boleh mencetuskan keadaan dingin dan ternyata ia sudah pun berlaku.
"Saya juga mengharapkan siasatan dilakukan dan tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa suspek yang ditahan sebagai bukti keseriusan pihak berkuasa dalam menjaga ketenteraman awam, khususnya menjelang musim Pilihan Raya Umum akan datang," ujarnya.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun meminta Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanggungjawab berhubung insiden kekecohan semasa forum 'Nothing to Hide 2.0.
Tegas Khairul Azwan, Syed Saddiq seharusnya dipertanggungjawabkan kerana gagal menjamin keselamatan mereka yang menghadiri forum itu serta membendung daripada berlaku keganasan sedemikian.
Sumber: Astro Awani