PELUANG Kelantan untuk melayakkan diri ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini hampir tertutup setelah tunduk 2-3 kepada Melaka United, pada aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Meskipun menampilkan kebangkitan pada babak kedua namun skuad kendalian Zahasmi Ismail terpaksa akur dengan tiga gol yang direncanakan dua pemain import pelawat, Jeon Woo Young dan Marko Simic dalam separuh masa pertama.
Turun dengan misi memburu kemenangan, tuan rumah tampil garang pada awal permainan bagaimanapun dikejutkan gol pendahuluan Melaka United menerusi tandukan Woo Young hasil hantaran kapten, R Surendran, pada minit kelima.
Memasuki minit ke-31, Melaka United semakin selesa di depan apabila Woo Young memanfaatkan kekalutan yang berlaku di depan gawang tuan rumah dengan mudah menolak masuk gol kedua pasukannya.
Minit ke-86, Kelantan berjaya mengurangkan defisit jaringan apabila Mamadou Danso yang meluru naik ke atas menolak masuk gol kedua setelah berlaku situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti namun itu belum cukup untuk pasukannya mencatatkan keputusan seri, pada pertemuan semalam.
Kekalahan tersebut hampir menutup peluang Kelantan untuk beraksi di saingan Piala Berprestij itu apabila akan berdepan Kedah pada perlawanan akhir peringkat kumpulan September nanti.
Sumber: Sinar Harian