Kemelut PKR Semakin Rumit, Ketua AMK Dakwa Pemecatannya Tak Sah


KEMELUT dalaman PKR tidak nampak akan selesai walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat Isnin lalu memutuskan tiada kerjasama dengan PAS terutama dalam pembahagian kerusi pada PRU14 akan datang.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran yang dipecat mendakwa pemecatannya tidak mengikut peraturan parti.

Beliau mendakwa keputusan yang dibuat oleh Ketua AMK Kebangsaan Nik Nazmi Nik Ahmad adalah secara unilateral tanpa melalui perbincangan sewajarnya.

"(Keputusan itu) tanpa melalui mesyuarat Biro Politik AMK mahupun Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Pusat yang tidak bersidang sejak Mac 2017 dan tanpa melalui proses konsultasi dengan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Tetap AMK," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dakwanya lagi, pemecatannya juga berdasarkan memorandum yang dibuat oleh beberapa orang pemimpin AMK (PKR) Kelantan yang tidak sah susulan tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang.

Beliau berkata memorandum yang mempertikaikan pendirian AMK Kelantan meneruskan hubungan dengan kerajaan Kelantan juga adalah bertentangan dengan pentadbiran kerajaan Selangor yang terus mempertahankan kerjasama dengan PAS dalam pentadbiran kerajaan negerinya dengan Nik Nazmi sendiri merupakan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor.

Dr Mohd Hafidz Rizal dipecat sebagai Ketua AMK Kelantan oleh Nik Nazmi melalui pesanan dalam aplikasi WhatsApp kelmarin.

Media sebelum ini melaporkan PKR Kelantan kini berpecah ekoran ada pemimpin yang 'mesra PAS' walaupun parti itu telah memutuskan kerjasamanya dengan PKR.

Kemelut bertambah buruk apabila ada jawatankuasa AMK Kelantan mengumumkan hilang sokongan terhadap Dr Mohd Hafidz Rizal serta mendesaknya meletak jawatan.

Ia disusuli dengan memorandum yang dikatakan ditandatangani pemimpin AMK peringkat cabang yang kemudian dihantar kepada pucuk pimpinan pusat.

PKR di Kelantan dikatakan berpecah dua berikutan satu pihak mahu kerjasama dengan PAS sementara satu kumpulan lain menolaknya.

Kerjasama politik antara PKR dan PAS itu ditamatkan oleh selepas muktamar PAS  di Kota Sarang Semut, Kedah hujung April lalu.

Keputusan Majli Presiden Pakatan Harapan Isnin lalu. untuk menyatakan tiada kerjasama dengan PAS hanya diambil setelah pemimpin PKR termasuk timblannya presidennya, Datuk Seri Azmin Ali berjinak semula dengan parti Islam itu bagi menghadapi PRU14.- Kedahnews.com