Kemudahan Perubatan Terbaik Untuk Jemaah Haji


MEKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan perkhidmatan terbaik termasuk menyediakan khidmat doktor pakar bagi memastikan jemaah haji Malaysia dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sempurna.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) 1438 Hijrah, Dr. Mohammad Faid Abd. Rashid berkata, pasukan perubatan TH terdiri daripada 18 doktor pakar, 40 pegawai perubatan dan 217 anggota sokongan perubatan bagi memberikan perkhidmatan kepada 30, 200 jemaah haji pada tahun ini.

Beliau berkata, ia termasuk 63 penolong pegawai perubatan serta 66 jururawat, di samping pegawai pergigian dan farmasi, juru x-ray, pakar pemakanan serta pegawai makmal dan fisioterapi.

"Di Mekah, kita mempunyai Pusat Rawatan TH Syisyah dengan memuatkan kapasiti 197 katil termasuk satu bilik pengasingan bagi kes berjangkit.

"Sementara di Pusat Rawatan TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah disediakan 34 katil, manakala di Pusat Rawatan TH Al Jaffery di Madinah, kita sediakan 37 katil bagi memberi rawatan terbaik kepada pesakit dalam kalangan jemaah haji," katanya kepada pemberita di Pusat Rawatan TH Syisyah di sini. - Bernama