Kenalan Lelaki Di FB Punca Adik Amyza Aznan Cerai


KUALA LUMPUR - Pelakon, Amyza Aznan, berang dengan individu bernama Mohamad Zelmi, yang didakwa meruntuhkan perkahwinan adiknya, Siti Jamiyah Aznan, 35.

Amyza berkata, Jamiyah sudah diceraikan bekas suami selepas wanita itu memaksa beliau berbuat demikian hanya kerana mahu mengikuti lelaki yang baru dikenali di Facebook, beberapa bulan lalu.

"Saya terkejut ketika perjumpaan keluarga, adik saya memberitahu dia sudah bercerai dan mahu mengikuti lelaki itu.

"Suaminya hampir gila memujuk Jamiyah untuk rujuk semula, tetapi dia tak mahu. Lelaki itu sudah mengawal kehidupan adik saya," katanya kepada BH Online.

Amyza berkata demikian ketika diminta mengulas status dimuat naik di Instagramnya berhubung pendedahan beliau mengenai lelaki yang mengganggu rumah tangga adiknya itu.

Menerusi status berkenaan, Amyza turut meminta orang ramai menjejaki Mohamad Zelmi , yang dikatakan cuba bersembunyi daripada keluarganya.

"Berdasarkan apa yang saya lihat, sikap Jamiyah bukan seperti biasa. Saya meminta nombor telefon lelaki berkenaan, namun dia enggan memberikannya kepada saya. Disuruh minum air yang kami beri pun dia tak mahu.

"Saya difahamkan lelaki itu sekarang berada di Johor dan sebelum ini pun, dia dikatakan pernah menipu wanita lain.

"Adik juga meminta saya untuk memadam semua status yang dimuat naik dan mengugut untuk melarikan diri jika kami cuba mengganggu lelaki terbabit.

"Saya harap orang ramai turut dapat membantu saya mencari Zelmi. Saya benar-benar bengang dengan apa yang berlaku. Kasihan anak-anaknya yang masih lagi kecil," tegasnya.

Sumber: BH Online