Kerajaan DAP P. Pinang Dibidas, Guna Bantuan Persekutuan Untuk "Perdaya Rakyat"


GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dicabar untuk meminta pembatalan perjanjian penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan jika berterusan mendakwa berjaya mengurangkan hutang negeri

Parti DAP perlu jujur kepada diri mereka dan bukannya melemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan kepada kerajaan Persekutua berkaitan status hutangnya.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan semalam menyifatkan momokan DAP kononnya kerajaan BN sebelum ini menjual tanah negeri pada harga RM1 untuk sekaki persegi adalah propaganda untuk mengelirukan rakyat.

Selain itu, katanya, tindakan DAP mendabik dada kononnya Pulau Pinang berjaya mengurangkan hutang negeri berkenaan sehingga 95 peratus hasil kecekapan, bertanggungjawab, telus (CAT) parti adalah sekadar putar belit politik.

"Hakikat sebenar adalah 95 peratus pengurangan hutang Kerajaan Pulau Pinang direalisasikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui penstrukturan perjanjian air pada 2011.

"Ia dilaksanakan menerusi persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengubah hutang sedia ada sebanyak RM655.24 juta kepada bayaran ansuran RM14.56 juta setahun, bagi tempoh 45 tahun.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, menerusi perjanjian yang sama, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju memberikan geran berjumlah RM1.2 bilion kepada Kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, dana itu untuk memperbesarkan empangan Mengkuang, walaupun DAP bertalu-talu memfitnah kononnya Kerajaan Persekutuan tidak membantu Pulau Pinang.

"Sebahagian besar daripada jumlah dana itu sudah disalurkan, sekali gus membuktikan bahawa kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap negeri ditadbir pembangkang.

"Selangor turut mendapat manfaat RM9.7 bilion daripada pakej bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 2015, manakala Kelantan menerima dana  yang sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, hanya Kerajaan Pulau Pinang yang menggunakan bantuan dari Kerajaan Persekutuan untuk berbohong kepada rakyat," katanya.

Abdul Rahman berkata, negeri lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau memperdaya rakyat, berbanding Kerajaan Pulau Pinang yang menyalahgunakan niat baik dan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk meraih nama serta memperdaya masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, DAP wajar berhenti membuat dakwaan terhadap pengurangan hutang negeri dan memohon maaf kepada rakyat selepas mengulangi pembohongan ini selama enam tahun.

"Jika DAP enggan berbuat demikian, kemukakan permohonan untuk batalkan perjanjian 
penstrukturan air 2011 yang bakal meningkatkan hutang negeri terbabit tiga kali ganda," katanya lagi.

-Kedahnews.com