Kes Misteri Potong Tocang Menjadi-Jadi Di India


New Delhi - Polis India menyiasat sejumlah kejadian tocang wanita dipotong individu tidak dikenali yang menyebabkan penduduk kampung ketakutan dan seorang wanita dibunuh kerana dituduh mengamalkan ilmu hitam.

Sejak Julai lalu, sekurang-kurangnya 55 wanita di lima negeri di India melaporkan tocang mereka dipotong secara misteri.

Empat kes baru dilaporkan di pinggir New Delhi kelmarin, beberapa hari selepas enam kes serupa dilaporkan di Gurgaon.

“Kami mendengar dia menangis dan apabila kami bergegas datang kami melihat dia terbaring tidak sedarkan diri,” kata Rohit Yadav, menceritakan kejadian ibunya, Monesh Devi yang menjadi mangsa pada Julai lalu.

“Tocang ibu saya yang dipotong berada di sebelahnya,” katanya.

Serangan misteri itu kebanyakannya berlaku di kawasan pedalaman, tempat kepercayaan karut masih menebal sekali gus mencetuskan dakwaan ia dilakukan pengamal ilmu hitam.

Beberapa kampung mengadakan upacara khas bagi menghalau roh jahat dan membuat rondaan.

Tiada seorang pun mangsa dicederakan atau dirompak.

Seorang wanita berusia 65 tahun dibunuh penduduk di Agra yang dituduh ahli sihir dan menggunakan ilmu hitam untuk memotong tocang wanita, walaupun tiada kes dilaporkan di bandar itu.

Jurucakap polis Delhi, Surinder Kumar berkata, kes itu disiasat sebagai jenayah tetapi sehingga kini tiada petunjuk mengenai siapa pelakunya.

Polis juga menolak unsur ilmu hitam dan percaya suspek mungkin mengalami masalah mental atau kes meniru perbuatan jenayah di sebalik serangan berkenaan.

Sumber: Metro