KFA Sudah Kemuka Semua Dokumen Untuk Beraksi Di AFC 2018


SUNGAI PETANI - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan bahawa pihaknya telah pun mengemukakan semua dokumen yang perlu untuk mendapatkan lesen bagi membolehkannya beraksi di dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Setiausaha Kehormat KFA, Dato' Aminuddin Omar menegaskan bahawa KFA telah pun diaudit dan mengemukakan semua dokumen yang diperlukan bagi membolehkan Lang Merah beraksi di dalam kejohanan tersebut.

"Berkenaan dengan lesen dengan AFC, Kedah sebenarnya telah pun diaudit oleh AFC dan FLMFLP. Kedah juga telah diberikan tarikh pada 31 Julai untuk kita serahkan semua dokumen berkaitan yang diperlukan.

"Alhamdulillah, pada tarikh tersebut kita telah selesai semua dokumen-dokumen yang diperlukan.

"Juga difahamkan kepada saya bahawa negeri yang complete dokumentasi ini ialah Kedah, Melaka, T-Team dan Selangor yang telah pun selesai," jelas Aminuddin kepada Kedahnews.com, di sini, tengahari tadi.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut menjelaskan bahawa pihak audit juga telah berpuas hati dengan prestasi Stadium Darul Aman yang sudah dilakukan penambahbaikan yang diperlukan di stadium tersebut.

"Ini adalah antara perkara-perkara yang kita lakukan bagi mendapatkan lesen untuk kita bermain dalam Liga Malaysia dan AFC," kata beliau, sekaligus menafikan dakwaan tidak benar terhadap KFA sebelum ini.

Kata Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri itu, KFA sememangnya komited memberikan kerjasama terbaik untuk mendapatkan lesen untuk beraksi di kejohanan AFC, namun usaha tersebut juga memerlukan bantuan dari FAM.

"Saya yakin dan percaya bahawa pihak pengurusan kita(KFA), saya selaku Setiausaha Kehormat , kita memang habis-habisan berkerja untuk memastikan Kedah dapat lesen ini (AFC).

"Cuma ada satu atau dua perkara yang belum lagi kita dapat selesaikan, jadi kita mohon pertolongan dari pihak FAM dari segi (status) kelab bola sepak ini. Kita telah hantar surat kepada FAM.

"Untuk mendapatkan kelulusan ini, sebenarnya kita perlu bertukar daripada FA kepada FC. Inipun telah kita buat. Jadi kita mohon kepada FAM untuk kemukakan surat-surat rayuan kita kepada AFC berkenaan tentang nak tukar daripada FA kepada FC ini.

"Dari segi lain saya rasa kita tidak ada masalah yang besar," ujar beliau, mengharapkan pertimbangan dari pihak pengurusan FAM.


Mengulas mengenai persediaan KFA untuk mengharungi cabaran AFC pada tahun depan, Aminuddin menegaskan bahawa Kedah sememangnya sudah pun bersedia untuk berdepan dengan kejohanan berprestij itu.

"Kedah sudah sedia sepenuhnya dari pelbagai segi. Pasukannya, pengurusannya, stadiumnya, kita bersedia untuk menghadapi kancah kejohanan AFC pada 2018 nanti," jelas beliau.

Kedah sebelum ini berjaya melayakkan diri secara automatik ke kejohanan AFC apabila muncul juara menjulang Piala FA 2017 selepas menumpaskan Pahang dengan jaringan 3-2, di Stadium Shah Alam pada Mei lalu. - Kedahnews.com