Khairy ‘Kunci’ Mulut Siapa Pembawa Jalur Gemilang KL 2107


KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memilih untuk ‘mengunci’ mulut daripada memberikan sebarang gambaran awal siapa yang bakal menjadi pembawa Jalur Gemilang semasa majlis perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada 19 Ogos ini, sekali gus menjadikan calon ber­kenaan kekal menjadi tanda tanya.

Kata Khairy, ketika ini dia sudah mempunyai tiga nama calon yang bakal menjadi pembawa Jalur Gemilang namun akan mengumumkannya pada masa yang sesuai.

“Saya sudah ada tiga nama tersebut.

“Tiga nama tersebut terdiri daripada dalam kalangan atlet Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis himpunan sukarelawan Kuala Lumpur 2017 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sini, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, Setiausaha Majlis Olimpik Ma­laysia (MOM), Datuk Low Beng Choo memberitahu bahawa semua 871 atlet yang menyertai Sukan SEA 2017 diberi pertimbangan untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang semasa majlis perasmian pada 19 Ogos ini.

Kenyataan itu memberi bayangan bahawa tidak mustahil untuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menyertai acara kuda lasak dan Khairy (polo) berpotensi untuk menjadi pembawa bendera negara.

Bagaimanapun, Beng Choo enggan mendedahkan nama yang telah disenarai pendek kerana mahu menjadikannya sebagai satu kejutan.

Sumber: Utusan Online