Kilang Haram Di Seberang Perai, MPSP Dipersoal Tidak Ambil Tindakan


BUKIT MERTAJAM - Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said mendakwa a banyak kilang haram yang berselindung di sebalik status tanah pertanian wujud di kawasan Seberang Perai.

Menurut Mohd Zaidi pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya lapan lokasi berstatus tanah pertanian di sekitar  daerah itu yang dibangunkan sebagai kawasan perusahaaan.

 Pihanya, kata beliau akan mendedahkan lebih banyak maklumat kepada SPRM berhubung salah laku pihak tertentu yang melindungi industri kilang haram.

"Kami berterima kasih kepada SPRM kerana menyiasat perkara itu memandangkan isu ini sudah lama dibangkitkan penduduk setempat namun tiada tindakan diambil," katanya yang dipetik daripada Bernama.

Hari ini Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh direman lima hari di Mahkamah Majistret  bagi membantu siasatan serbuan terhadap sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis kira - kira pukul 12.25 tengah hari.

Turut direman ialah dua beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.

Boon Poh ditahan kira - kira pukul 2.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, Geroge Town.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti  tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

Sementara itu  Parti Cinta Malaysia (PCM) mempersoal mengapa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) tidak mengambil tindakan ke atas kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi secara haram di Sungai Lembu  sejak 10 tahun lepas walaupun kilang itu tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Timbalan presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, MPSP telah beberapa kali menolak permohonan kilang itu untuk beroperasi di kawasan berkenaan termasuk yang terbaru pada 23 November lepas.

"Berdasarkan maklumat, pemilik tanah itu tidak pernah memohon untuk menukar status tanah yang dikategori sebagai pertanian kepada industri malah mereka (pemilik kilang) juga tidak menghantar pelan kerja tanah, pelan parit serta laporan penilaian kesan awal kepada alam sekitar untuk membina kilang di situ.

"Pada 23 Novemver  lepas, MPSP telah mengarahkan kilang itu ditutup tetapi sehingga semalam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu, ia masih beroperasi. 

"Saya pelik mengapa MPSP tidak mengambil sebarang tindakan,"katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan demonstrasi aman membantah kewujudan kilang haram di Sungai Lembu itu. - kedahnews.com