Kim Swee Bimbang Kecergasan Pemain B-22


KUALA LUMPUR - Kecergasan 27 pemain yang dipanggil untuk sesi latihan pusat fasa akhir menjadi kebimbangan utama Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi pembukaan Sukan SEA 2017 berdepan Brunei di Stadium Shah Alam, 14 Ogos ini.

Pengendali skuad Bawah 22 (B-22) negara itu mengakui kebanyakan pemain agak keletihan kerana kerap diturunkan dalam aksi Liga Malaysia, sekaligus memberi kesan kepada kecergasan mereka apabila melaporkan diri untuk sesi latihan skuad berkenaan yang bermula Isnin.

Sehubungan itu, Kim Swee berkata, pemain yang beraksi kerap dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia sebelum ini akan diberi rehat di antara tiga atau empat hari sebelum sesi latihan berkenaan diteruskan dengan lebih intensif.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis perjumpaan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan skuad B-22 negara, di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui kehadiran lebih banyak pemain pada sesi latihan pusat fasa akhir kali ini memberi banyak pilihan untuknya merencana strategi terbaik pada Sukan SEA nanti.

"Kemasukan semula enam pemain baharu dan beberapa pemain lain memberi saya pilihan terutama dari segi individu tertentu," kata Kim Swee.

Sementara itu, Kim Swee senada dengan kenyataan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu skuad bola negara bersifat realistik dalam mencapai sasaran pingat emas yang ditetapkan badan induk itu pada Sukan SEA 2017.

"Apabila kita turun selaku pasukan tuan rumah, saya pasti kita inginkan pingat emas namun yang lebih penting adalah kita tumpukan dahulu saingan peringkat kumpulan sebelum memikirkan pingat emas," tegas pengendali kelahiran Melaka itu.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan A akan membuka kempen Sukan SEA 2017 berdepan Brunei pada 14 Ogos, Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) sebelum menamatkan pusingan awal menentang Laos pada 23 Ogos.

Kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Shah Alam. - BERNAMA