KL2017: 16 Atlet Negara Keracunan Makanan, MOM Siasat Punca Sebenar


KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang menyiasat punca sebenar yang mengakibatkan 16 atlet negara mengalami keracunan makanan sehingga terpaksa mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Low Beng Choo mengesahkan pihaknya sedang menunggu laporan rasmi memandangkan siasatan sedang dijalankan sebelum mereka boleh mengeluarkan apa-apa maklumat lanjut berhubung masalah itu.

"Lebih baik kita menunggu laporan rasmi terlebih dahulu bagi memastikan kita mendapat fakta yang tepat.

"Kita akui sukar untuk mencari punca sebenar memandangkan mereka atlet daripada pelbagai sukan dan berada di tempat pertandingan yang berlainan. Mereka bebas mendapatkan makanan di luar hotel penginapan.

"Namun, kita tidak memandang ringan insiden ini walaupun ia hanya membabitkan 16 atlet daripada lebih 800 keseluruhan atlet pada edisi kali ini. Apapun, tunggu laporan rasmi daripada pihak yang menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Seramai 16 atlet antaranya daripada sukan petanque dan renang mengalami keracunan makanan sehingga memaksa seorang daripada atlet renang perlu mendapatkan rawatan lanjut sekali gus terlepas untuk beraksi semalam.

Dalam perkembangan lain, Beng Choo turut menyatakan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) akan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menambahbaik kualiti keselamatan pada acara membabitkan sukan bola sepak.

"Dengan Malaysia sudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, kita akan mengadakan perbincangan untuk mencari cara terbaik bagi mengetatkan lagi tahap keselamatan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beng Choo berkata demikian susulan insiden dua penyokong Myanmar yang dibelasah sekelompok penyokong Malaysia selepas tamat aksi membabitkan dua pasukan di Stadium Shah Alam, Isnin lalu.

Sumber: BH Online