KL2017: Tandukan Thanabalan Bawa Malaysia Ke Final


SHAH ALAM - Penyerang skuad Bawah 22 Tahun (B-22), N Thanabalan muncul wira negara apabila jaringan tunggalnya pada lewat permainan membawa Malaysia ke final acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Lawan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada final, Selasa ini adalah Thailand yang mengenepikan Myanmar, juga dengan 1-0 pada satu lagi separuh akhir, petang tadi.

Dalam saingan di Stadium Shah Alam itu, perlawanan bermula sedikit perlahan dengan kedua-dua pasukan tampak berhati-hati dengan percubaan terbaik Malaysia hadir pada minit ke-29 menerusi sepakan penjuru Safawi Rasid yang melencong ke dalam gol tetapi sempat ditepis penjaga gol, Satria Tama Hardiyanto.

Seminit selepas itu, Satria sekali lagi menjadi penyelamat pintu gol Indonesia apabila menyelamatkan percubaan jarak dekat Thanabalan.

Indonesia juga mendapat peluang terbaik pada minit ke-33 menerusi sepakan percuma Septian David Maulana yang ditangkap kemas penjaga gol Haziq Nadzli.

Perlawanan lebih rancak sebaik bersambung babak kedua dan Malaysia bernasib baik apabila rembatan deras kapten Indonesia, Evan Dimas Darmono pada minit ke-64 tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-65, Malaysia pula mensia-siakan peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila Jafri Firdaus Chew gagal menanduk tepat sepakan penjuru Safawi.

Jaringan yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia akhirnya muncul pada minit ke-87 apabila Thanabalan menanduk masuk sepakan sudut Syazwan Andik Mohd Ishak, sekali gus membawa skuad negara ke final.

Sumber: BH Online