Kolej Insaniah Mergong Jadi Kompleks Pembangunan Asnaf Kedah


ALOR SETAR - Kompleks Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Mergong di sini akan dijadikan Kompleks Pembangunan Asnaf Kedah yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat hemodialisis serta klinik dan farmasi asnaf.

Sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan sebagai kos operasi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Kita tidak akan membina bangunan baharu, sebaliknya menggunakan bangunan yang sediaada itu, " kata Ahmad Bashah semasa menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Kolej itu kosong selepas semua operasinya berpindah ke kampus induk di Kuala Ketil Sunngai Petani dua tahun lalu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata untuk tujuan tersebut, kerajaan negeri sedang giat melakukan rundingan dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang akan menguruskan kompleks itu.

"Cadangan ini dibuat berdasarkan kepada kemudahan dan kelengkapan infrastruktur sedia ada sesuai dengan keperluan kompleks pembangunan asnaf tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan berkenaan..

Katanya apabila direalisasikan kelak, pusat hemodialisis yang terdapat di kompleks itu mampu memberi manfaat kepada 400 asnaf selain 64 peluang pekerjaan melalui 80 mesin dalam tempoh lima tahun.

"Di kompleks ini juga akan diwujudkan bengkel jahitan melalui tukang jahit yang terdiri daripada asnaf terlatih yang mampu menghasilkan 4,800 pasang pakaian sebulan dalam tempoh lima tahun," katanya.

Pengumuman menggunakan komplek Insaniah itu sudan tentu disambut gembira oleh peniaga-peniaga kecil Pasar Tani FAMA TamanWira dan penduduk Taman Mergung. - Kedahnews.com