BALING - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan kesediaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersedia untuk bersumpah laknat berhubung pendedahannya tentang satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri menyatakan kerelaan hati untuk disiasat SPRM berikutan dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996.
Kata beliau, kesediaannya untuk disiasat dan membuat sumpah laknat itu adalah bagi membetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan yang dibuat oleh Dr. Mahathir.
(Dr. Mahathir kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pengerusi Pakatan Harapan) sebelum ini juga mengaku merancang untuk singkirkan Najib seperti mana yang dijelaskan anaknya, Datuk Seri Mukhriz semasa memberi keterangan dalam mahkamah baru-baru ini).
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut meminta harta bekas perdana menteri dan keluarganya itu juga disiasat suruhanjaya tersebut.
"Saya dengan ini terbuka hati dan menawarkan diri untuk disiasat oleh SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh orang itu (Dr Mahathir).
Pada masa sama saya minta aset beliau dan keluarga beliau juga disiasat SPRM. Ini bukan cabaran... cuma meminta, baru namanya telus... Jangan dok tuduh orang sahaja," kata Ahmad Zahid lagi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas timbalan presiden parti itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Baling di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu merangkap Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Baru-baru ini Dr Mahathir membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.
Bagaimanapun Dr Mahathir menyatakan beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berhubung dakwaan itu.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak gentar dengan cabaran itu ekoran pendedahannya tentang komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri kerana mempunyai bukti rakaman perbualan semasa pertemuannya dengan bekas pemimpin UMNO yang merancang konspirasi itu.
“Saya sedia sahut cabaran dan sanggup sumpah laknat di mana-mana masjid pun bahawa yang merancang cuba jatuhkan Perdana Menteri adalah orang itu... bukannya saya, " kata Ahmad Zahid.
.
Bagaimanapun beliau juga meminta agar pemimpin berkenaan (Dr. Mahathir) mesti juga sanggup bersumpah.
Semalam ketika merasmikkan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun, Ahmad Zahid mendedahkan siapa sebenarnya dalang yang merancang untuk menjatuhkan Presiden UMNO dan Perdana Menteri. - Kedahnews.com