Konspirasi Jatuhkan PM, Polis Buka Dua Kertas Siasatan


KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membantu siasatan berhubung dakwaan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya kini telah membuka dua kertas siasatan dan sedang meneliti kes tersebut secara terperinci.

“Kita akan memanggil semua individu terbabit untuk diambil keterangan dan siasatan dijalankan mengikut di Seksyen 500 Kanun Ke­seksaan kerana kesalahan memfitnah.

“Hasil kertas siasatan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hari Hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini semalam.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu dengannya dan meminta sokongan daripadanya untuk menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, sebanyak 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Dr. Mahathir berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa mengancam ke­selamatan politik negara.

Antara NGO yang membuat laporan ialah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) Cawangan Muar; Gerakan Belia 4B Negeri Johor; Persatuan Veteran Belia-Belia Bersatu Malaysia (MAYC) Muar dan Persatuan Penduduk Komuniti Perpaduan Bakri.

Sumber: Utusan