PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Abd. Rahim Ishak meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Nilai kira-kira pukul 3 pagi tadi selepas mengadu sesak nafas.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek berkata, Allahyarham mengadu sakit dada dan tidak boleh tidur pada pukul 2 pagi dan memandu sendiri untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital tersebut.
“Jenazah akan dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat pagi ini sebelum dibawa untuk dimandikan dan diuruskan di Surau Seksyen 6 Bukit Mahkota,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham turut menghadiri majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 5 petang semalam.
Abdul Rahim, 55, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara berkuat kuasa pada 16 Jun 2016.
Allahyarham sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri selain pernah menjadi Pengarah, Bahagian Awam, Eastern Sabah Security Command (Esscom).
Sumber: Kosmo