KPDNKK Rampas 100 Botol Arak Tiruan


TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Teluk Intan, berjaya merampas 100 botol arak pelbagai jenama dipercayai tiruan berharga RM11,420 dalam tiga serbuan kelmarin.

Ketua Cawangan KPDNKK Teluk Intan, Suhaimi Dawi berkata, operasi melibatkan 10 anggota penguat kuasa agensi tersebut menyerbu tiga premis perniagaan sekitar Hutan Melintang.

"Bertindak daripada hasil maklumat diperoleh daripada orang awam pasukan kami  melakukan risikan dan mendapati premis berkenaan menjual pelbagai jenis arak dipercayai tiruan.

"Kemudiannya kesemua anggota dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi melakukan serbuan bermula jam 2 petang sehingga 11 malam tadi," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat KPDNKK Cawangan Teluk Intan, di sini kelmarin.

Suhaimi berkata, rampasan berkenaan merupakan yang pertama dijalankan KPDNKK Teluk Intan melibatkan arak tiruan pelbagai jenama bersaiz botol 700 liter sehingga 1,000 liter.

"Kami percaya harga arak tiruan ini dijual oleh peniaga serendah RM80 sehingga RM120 sebotol kepada pelanggan-pelanggan di kawasan berhampiran," katanya.

Sumber: Sinar Online