KPDNKK Selangor Patahkan Cubaan Penipuan Harga Jualan Murah Set Cadar


SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor mematahkan cubaan penipuan harga dalam satu jualan murah di sebuah pasar raya terkemuka di Seri Kembangan, Isnin lalu. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Azman Adam, tindakan peniaga itu dikesan selepas menerima aduan daripada para pengguna mengenai harga set cadar yang mengelirukan. 

Hasil pemeriksaan di pasar raya berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang itu pihaknya menemukan 33 set cadar yang didapati mempunyai petunjuk harga palsu. 

“Kita dapati set harga cadar yang dijual pada harga RM289 setiap satu dan mempunyai label potongan harga pada kadar 70 peratus yang menjadikan harga baharu set cadar tersebut berjumlah RM86.70.

“Sedangkan, pada masa sama terdapat juga tanda harga lain bagi set cadar sama bernilai RM57.80,” katanya yang turut menyatakan nilai rampasan semua set cadar berkenaan berjumlah RM13,294.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Perihal Dagangan 2011 atas kesalahan membuat apa-apa petunjuk palsu atau mengelirukan, dengan apa-apa cara sama ada secara langsung atau tak langsung. 

Sabit kesalahan katanya boleh didenda di bawah Seksyen 59 (Penalti Am) akta yang sama iaitu RM10,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala denda RM25,000 bagi pertubuhan atau syarikat.

Sumber: Utusan Online