Lama Tak Muat Naik Gambar Bersama Suami, Elyana Nafi Bercerai


GARA gara sudah lama tidak memuat naik gambar bersama suami di laman sosial ramai beranggapan penyanyi Elyana, 30, sudah bercerai.

Perkara itu bertambah hangat diperkatakan apabila penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu itu dilihat menghadiri majlis hiburan dan konsert tanpa ditemani suami, Khairul Anuar Hussin.

Elyana ketika dihubungi berkata, tanggapan dan dakwaan rumah tangganya bermasalah ataupun sudah bercerai tidak benar sama sekali.

“Alhamdullilah saya masih lagi bahagia bersama suami dan anak di sisi.

"Bagaimanapun, saya tidak salahkan mereka yang membuat andaian dan tanggapan sedemikian rupa.

“Kalau saya jadi orang luar pun apabila melihat pasangan suami isteri tidak memuat naik gambar bersama dalam tempoh yang panjang akan memikirkan perkara yang bukan-bukan,” katanya.

Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal mengakui sudah lama tidak memuat naik gambarnya bersama suami termasuklah waktu sambutan Aidilfitri lalu kecuali sesekali bersama anak.

“Sebenarnya suami saya sendiri yang tidak gemar gambarnya dirakamkan. Dalam waktu sama sejak kembali aktif menyanyi saya lebih senang memuat naik aktiviti seni yang dijalankan di laman sosial. Menerusinya peminat lebih tahu akan perkembangan kerjaya seni saya,” katanya.

Elyana bernikah dengan jejaka pilihan hatinya, Khairul Anuar Hussin pada November 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayyah, enam tahun.

Sumber: MyMetro