Di bawah Peraturan-peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang digariskan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999, diperuntukkan bahawa para peniaga yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam talian perlu memenuhi lapan kehendak peraturan.
Menurut Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK), Datuk Mohd Roslan Mahayudin, peniaga dalam talian perlu mendedahkan maklumat nama orang dalam perniagaan itu, nombor perniagaan dan syarikat, alamat e-mel dan nombor telefon serta ciri produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Selain itu, harga penuh, kos pengangkutan, cukai dan kos lain, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran kepada pembeli juga perlu dinyatakan.
Oleh itu perihal 'pm tepi' (mesej peribadi) yang diamalkan dalam media sosial sebenarnya satu kesalahan apabila peniaga tidak mendedahkan makumat yang telah digariskan.
“Pihak KPDNKK membenarkan pm tepi untuk para pembeli mendapatkan maklumat lanjut namun syarat utama untuk para peniaga dalam talian adalah meletakkan harga untuk sesuatu produk yang ditawarkan,” Mohd Roslan memberitahu Bernama.
Peraturan untuk para peniaga memenuhi lapan kehendak yang disebutkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2013 namun pihak KPDNKK memberikan tempoh untuk peniaga dalam talian mematuhi peraturan ini sehingga bulan September.
Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini dan jika kes mereka dibawa ke mahkamah, untuk individu, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau tiga tahun penjara.
Untuk syarikat yang disabitkan kesalahan pula, denda tidak melebihi RM100,000, akan dikenakan. - BERNAMA