IPOH - Seorang lelaki yang mempunyai 12 rekod kesalahan lampau, melecur di bahagian badan setelah membakar dirinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis menahannya dalam kejadian di sini awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi di Balai Polis Jelapang di sini berlaku apabila lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol, melakukan provokasi terhadap polis menyebabkan dia ditangkap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, ketika ditahan, suspek yang tidak bekerja, menyeluk saku seluarnya dan menyalakan pemetik api hingga menyebabkan dirinya terbakar.
Katanya, anggota polis yang mengawalnya berjaya membuka gari lelaki terbabit dan memadamkan api tersebut namun badan mangsa terbakar hingga melecur.
"Sebelum kejadian, suspek datang ke balai polis untuk membuat laporan namun dia dinasihatkan supaya pulang setelah didapati berada dalam keadaan mabuk dan membuat laporan setelah berada dalam keadaan stabil.
"Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit berang dan mengeluarkan kata-kata ugutan kepada anggota polis bertugas sebelum beredar dari balai polis," katanya.
Tian Kee berkata, lelaki itu kemudiannya datang semula ke balai dan cuba membuat provokasi menggunakan kekerasan dengan menolak seorang daripada anggota polis yang bertugas.
Menurutnya, melihat keadaan itu, anggota polis terpaksa menangkap lelaki terbabit untuk siasatan dan keselamatan sebelum pemeriksaan ke atas motosikal dinaiki suspek menjumpai sebilah parang panjang.
Sumber: Utusan Online