Lelaki Murung, Ambil Ubat Berlebihan Rempuh Kedai Piza


Paris - Seorang lelaki ditahan selepas merempuh keretanya ke dalam sebuah restoran piza menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun terbunuh, manakala 13 yang lain cedera, dalam kejadian yang tidak dikaitkan dengan perbuatan keganasan.

Suspek berusia 32 tahun itu dilaporkan mengalami kemurungan dan mengambil ubat berlebihan sebelum kejadian lewat Isnin (waktu tempatan) itu, kata sumber.

Kejadian berkenaan pada awalnya dibimbangi satu lagi perbuatan pengganas kerana berlaku hanya lima hari selepas sekumpulan askar dirempuh kereta di Paris.

Bagaimanapun, siasatan mendapati lelaki itu mengalami kemurungan malah cuba membunuh diri sehari sebelum itu, kata sumber.

Kejadian berlaku di bandar Sept-Sorts, 54 kilometer dari Paris.

Pihak berkuasa Perancis berkata: “Pemandu itu nyata berniat melakukan perbuatan itu, tetapi kami tidak mengesyaki motifnya adalah keganasan.”

Adik lelaki remaja yang maut itu antara empat yang parah. Lapan yang lain cedera ringan.

Sumber: Metro