Lelaki Myanmar Di Penjara 10 Tahun Cuba Rogol Kanak-Kanak Senegara


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar yang cuba merogol kanak-kanak senegaranya yang berumur sembilan tahun, dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Rofik Mohammad Husson, 55, yang tidak bekerja, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada perbicaraan hari kedua kes itu, semalam.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap pada 7 Mac 2017 dan memandangkan terdapat unsur kekerasan (ketika kejadian), mahkamah memerintahkan tertuduh disebat sebanyak dua kali," kata hakim itu.

Bapa kepada lima orang anak itu didakwa telah melakukan cubaan rogol terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun di sebuah rumah sewa di  Ampang Jaya, di sini pada 7 petang, 6 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(2) (e) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama  yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang tinggal serumah dengan kanak-kanak itu mahu meminjam pengecas telefon daripada mangsa kerana telefon bimbitnya telah kehabisan bateri di sebuah bilik dan cuba merogol  kanak-kanak itu. Mangsa sempat menjerit memanggil kakaknya yang berada di dapur.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ringan dan memohon hukuman sebat dikecualikan kerana dia mengalami kecederaan ketika bekerja sebagai tukang kayu  sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan terhadap tertuduh mengambil kira tertuduh telah menggunakan kekerasan dan mendatangkan trauma kepada mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak. - Bernama